Dr Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mempersoalkan data statistik yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan mengenai Indeks Harga Pengguna (CPI) negara untuk bulan Oktober yang menunjukkan kos penjagaan kesihatan hanya meningkat sebanyak 1.4%, manakala insurans naik sebanyak 0.5%.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan jika kenaikan sebanyak itu mengapa premium insurans dirancang untuk dinaikkan antara 40% hingga 70% mulai tahun depan.

Beliau menegaskan, data ini merupakan data statistik rasmi daripada Jabatan Perangkaan dan jika terdapat kesilapan dalam data tersebut, Kerajaan Perpaduan, khususnya menteri yang bertanggungjawab terhadap agensi berkaitan harus memberikan penjelasan kepada rakyat.

Menurut data yang sama, CPI pada bulan Oktober meningkat 1.9% secara tahunan, sedikit lebih tinggi daripada peningkatan 1.8% pada bulan September, manakala inflasi teras mencatatkan kenaikan sebanyak 1.8%.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap klausa dalam polisi insurans yang membolehkan syarikat insurans menaikkan premium secara sepihak tanpa menetapkan had tertentu.

Malah, beliau tidak memahami mengapa Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan klausa yang tidak jelas, tidak munasabah, dan tidak adil kepada pengguna dimasukkan ke dalam polisi insurans.

“Saya ingin mengingatkan Kerajaan Perpaduan supaya tidak hanya bertindak secara selektif dalam menyelesaikan masalah selepas ia berlaku. Pendekatan sementara tidak mencukupi.

“Jika isu kenaikan premium insurans ini hendak ditangani, kerajaan harus bersikap profesional dengan meneliti semua klausa yang tidak adil dalam polisi insurans. Mana-mana klausa yang tidak melindungi kepentingan pengguna perlu dihapuskan bagi memastikan hak mereka terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Menurut beliau, kecuali syarikat insurans dapat memberikan alasan yang kukuh dan meyakinkan, BNM sepatutnya mempertimbangkan kepentingan keseluruhan pengguna insurans, bukannya berpihak kepada syarikat insurans.

“Jika Bank Negara gagal melindungi kepentingan rakyat, kepada siapa lagi pengguna boleh mengadu?,” soal beliau.

Dominic turut menekankan beberapa isu utama dalam industri insurans yang memerlukan perhatian serius daripada kerajaan dan BNM, termasuk penolakan tuntutan insurans dan pakej polisi yang tidak munasabah.

Jelasnya, terdapat kes pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana tuntutan insurans mereka ditolak sekali gus menambah tekanan kepada sistem kesihatan awam.

“Kebanyakan individu hanya mampu mengumpul kekayaan dalam jumlah yang terhad, tetapi kos rawatan perubatan melebihi kemampuan mereka. Oleh itu, polisi insurans kesihatan menjadi langkah berjaga-jaga.

“Namun, jika premium insurans dinaikkan, ramai keluarga berpendapatan rendah dan sederhana akan terkesan dan risiko kehilangan perlindungan insurans. Ini adalah dilema dan tekanan utama yang dihadapi pengguna pada masa kini.”

Beliau turut mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini sering menyeru kerajaan untuk menyediakan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan percuma.

Katanya, jika kerajaan tidak mampu mengekang kenaikan premium insurans atau menyediakan hospital percuma untuk semua, sekurang-kurangnya mereka perlu mempertimbangkan pelaksanaan polisi rawatan percuma bagi warga emas berusia 70 tahun ke atas atau golongan berpendapatan rendah yang menghidap penyakit kritikal.

Langkah ini, ujar beliau dapat membantu mengurangkan beban akibat kenaikan premium insurans. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here