KUANTAN – Istana Pahang menafikan kenyataan seorang wanita yang mendakwa bakal mengahwini Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah pada bulan April tahun depan.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahaya, ia berikutan bebenang hantaran dimuat naik wanita itu menerusi platform media sosial semalam.
“Hantaran di laman sosial Instagram yang dimuatnaik sendiri oleh pengguna platform dengan menggunakan nama Faridah Daud (faridah.Daud_1) itu menyaksikan wanita berkenaan ‘menerangkan’ majlis perkahwinannya bersama Tengku Mahkota Pahang.
“Wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada bulan April tahun depan dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Zahari berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku dan Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah dimuat naik oleh individu sama.
Orang ramai diminta agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik itu selain daripada portal rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my dan platform media sosial Kesultanan Pahang.
“Tindakan tegas boleh diambil kepada individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu gugat keharmonian khususnya Istana Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette