AHLI Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menunjukkan bahagian yang dihitamkan dalam laporan RCI Batu Puteh di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat hari ini bermula dengan kontroversi selepas dipertikaikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Ia susulan terdapat sebanyak 47 muka surat daripada keseluruhan 217 muka laporan terbabit didapati digelapkan atau dipadamkan.

Sehubungan itu, Takiyuddin sebelum sesi perbahasan laporan itu meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Bagi saya laporan RCI ini adalah satu laporan yang boleh dianggap cacat, macam mana ni?

Kita nak rujuk apa ni? Apa yang kita nak rujuk? Saya boleh bagi contoh satu untuk menteri jawab.

“Muka surat 197, syor-syor suruhanjaya dalam laporan ini boleh diringkaskan seperti berikut, (tetapi) muka surat seterusnya tidak ada apa, gelap.

“Syor apa ini? Laporan apa, syor apa yang nak dibincangkan? 47 daripada 217 muka surat didapati dipadamkan.

“Adakah ini satu laporan yang layak untuk dibawa dan dibahaskan di Dewan Rakyat ini? Saya mohon penjelasan? Saya rasa Speaker maklum akan perkara ini? Jadi saya minta penjelasan terlebih dahulu sebelum ia dibahaskan. Ini mungkin (peraturan) 36(12), mengelirukan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, usul berkenaan laporan itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan akan dibahaskan oleh seramai 10 Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan Takiyuddin, Johari berkata, beliau telah meminta penjelasan Azalina berhubung bahagian yang digelapkan sebaik sahaja menerima laporan tersebut.

Jelasnya, beliau diberitahu bahagian yang digelapkan itu meyentuh mengenai kemaslahan politik, soal kedaulatan dan keselamatan negara.

“(Tetapi) Yang Berhormat boleh bertanya Menteri, tidak ada masalah dan saya benarkan. Cumanya ia tidak dibuat dalam bentuk hitam putih, itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast