KUALA LUMPUR – Pesawah padi yang mengalami kerugian akibat bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri baru-baru ini, menerima bantuan secara tunai daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, mekanisme pemberian bantuan itu melibatkan beberapa peringkat penilaian meliputi penyediaan laporan dan penilaian kerugian oleh agensi di lapangan bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dihadapi oleh pesawah.
Seterusnya, jelas beliau, laporan lengkap akan dibentangkan dan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal Peringkat negeri dan Jawatankuasa Induk di peringkat KPKM.
“Bagi menangani isu kemungkinan berlaku ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan, bantuan pesawah hanya diberikan kepada pesawah yang berdaftar dan telah melepasi Jawatankuasa Penapis di peringkat Agensi Teknikal.
“Semua permohonan bantuan akan dinilai dengan teliti dan disahkan oleh jawatankuasa di peringkat negeri sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal TBTP peringkat ibu pejabat.
“Permohonan juga perlu disertakan dokumen yang lengkap sebelum dibawa untuk penilaian dan diperakukan kepada Jawatankuasa Induk TBTP di KPKM,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad (PH-Kota Raja) menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berhubung mekanisme pengagihan bantuan yang dirancang KPKM untuk memastikan petani yang terjejas akibat banjir benar-benar mendapat bantuan tanpa penangguhan dan langkah KPKM menangani kemungkinan ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan.
Menurut Mohamad, bagi pengusaha pertanian selain sawah padi yang turut terkesan akibat banjir, KPKM turut menubuhkan Tabung Bencana Pertanian bagi menyalurkan bantuan.
Menerusi tabung itu, jelas beliau, petani yang terjejas boleh membuat permohonan yang mana proses bancian dan siasatan di lapangan akan dibuat bermula dalam tempoh 14 hari selepas banjir dan selesai dalam tempoh 30 hari.
“Bagaimanapun, proses bancian dan siasatan perlu dijalankan dengan teliti bagi bagi memastikan semua penerima bantuan adalah golongan sasar yang memerlukan dan mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan bantuan tersebut.
“Bantuan dan inisiatif ini diharapkan dapat membantu para petani mengurangkan beban yang ditanggung akibat bencana dan KPKM akan terus memastikan bantuan disalurkan secara adil, cekap dan telus,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 4,872 hektar kawasan pertanian dilaporkan terjejas melibatkan 2,156 pesawah, petani dan pengusaha makanan, manakala 661 petugas KPKM Inc. Kelantan turut menjadi mangsa banjir kali ini. – MalaysiaGazette
















