Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Wisma Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dibuat sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada 23 Mei 2018.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu sama seperti yang dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Katanya, selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018, beliau menyifatkan bekas Perdana Menteri itu ibarat orang lemas yang cuba menyelamatkan diri.

“Perkara itu sudah ada keputusan. Kita rujuk kepada turutan fakta seperti mana dalam laporan RCI (bahawa) belum ada mesyuarat Kabinet, satu surat sudah dikeluarkan oleh Tun (Dr Mahathir).

“Jadi ini adalah percubaannya untuk mengheret (anggota Kabinet) macam orang lemas. Orang lemas ini kayu buruk pun dia capai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Kelmarin Dr Mahathir memberitahu, beliau bersedia berdepan dengan sebarang tindakan susulan hasil laporan RCI itu.

Beliau turut mendakwa hasil laporan berkenaan adalah bersifat politik bagi memusnahkan imejnya kerana hanya beliau seorang sahaja yang dipertanggungjawabkan.

Dr Mahathir sekali lagi menegaskan, keputusan berhubung Pulau Batu Puteh dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap hasil laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sebagai pengkhianatan besar terhadap negara.

Khamis lalu, RCI mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr Mahathir kerana menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ), yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh.

Dalam pada itu, Dr Mahathir beliau menolak hasil laporan RCI terbabit kerana didakwa terdapat banyak kecacatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast