Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri berharap atlet negara berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam Olimpik akan datang.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan pembinaan bangunan baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga bakal menjadi ibu pejabat baharu diharap dapat meningkatkan prestasi atlet negara.

“Pembinaan di Bukit Jalil itu telah mendapat persetujuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi pihak kerajaan. Selain itu, saya harap bangunan ini akan memberi motivasi baharu kepada MOM dan para atlet untuk menghadapi apa-apa acara sukan sama ada peringkat Olimpik atau serantau,” katanya demikian pada Malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-27 di sini malam tadi.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan berpuas hati dengan prestasi Hannah sebagai menteri serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan yang menunjukkan komitmen dalam tugasan.

“Pembangunan atlet perlu dilihat secara holistik dan bukan sekadar mengejar emas di gelanggang tetapi kemampuan mereka menjadi inspirasi dan ikon bernilai murni pada untuk generasi muda.

“Pelaburan yang dilakukan untuk latihan dan program sejak usia muda bukan sahaja dapat melahirkan juara dunia yang berkualiti tetapi juga berakhlak mulia.

“Malahan koordinasi dan penyelarasan untuk pembangunan sukan juga perlu diwajibkan sebagai usaha mengangkat martabat negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria menghargai atas kelulusan yang diberikan kepada persatuan itu untuk membeli sebidang tanah di Bukit Jalil.

Pembelian itu bertujuan untuk membina ibu pejabat baharu yang akan terletak di hadapan Stadium Hoki.

“Ibu pejabat itu yang juga dikenali sebagai Olympic House Malaysia diinspirasikan dari ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Lausanne, Switzerland.

“Bangunan berkonsep hijau yang mesra alam dan jimat tenaga seiring dengan hasrat MOM dalam menerapkan kaedah tadbir urus dan tatakelola yang moden,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast