KUALA LUMPUR – Hanya bermula tergigit lidah ketika tidur pada Julai tahun lalu, Mohd. Yazid Baharudin pada mula menganggap ia adalah perkara biasa. Ini kerana luka hasil gigitan itu kembali sembuh walaupun beliau sering tergigit banyak kali di tempat sama.
Setahun berlalu, pada Julai lalu, luka itu menjadi ulser yang sedikit demi sedikit mula menjadi besar. Bayangkan lidahnya membengkak dalam masa tiga bulan di mana dia tidak dapat bercakap dan makan dengan sempurna.
Biarpun masih bersikap positif dan ceria, Mohd. Yazid akhirnya memberanikan diri bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut.
Hasil keputusan yang diperolehi, anak bongsu empat beradik ini reda selepas disahkan kanser lidah tahap dua walaupun masih berada dalam keadaan antara percaya atau tidak.
Tanpa disangka, bulan lalu, dia yang mesra disapa Breffa terus diuji apabila kanser lidahnya itu berada di tahap empat dan dia perlu menjalani pembedahan agar sel kanser itu tidak merebak ke bahagian lain yang boleh mengancam nyawanya.
Beliau dinasihatkan membuat rawatan susulan di Insititut Perubatan Dan Pergigian Termaju Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (IPPT USM) yang telah mencipta kaedah rawatan kanser lidah dikenali sebagai Hybrid Barchytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy (HyBIRT).
Doktor pakar di IPPT USM, Dr Muhammad Yusri Musa memberitahunya kaedah rawatan tanpa menjejaskan fungsi tubuh atau melibatkan pemotongan lidah pesakit itu telah diperkenalkan sejak lima tahun lalu
Namun Mohd. Yazid yang juga Ketua Pemasaran di Harmony Excellence Holidays Sdn. Bhd. berdepan lagi ujian kerana kos rawatannya mencecah RM150,000.
Kisah penderitaan anak bongsu daripada empat beradik ini yang pantas tular di media sosial sejak minggu lalu menyebabkan ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu melancarkan sumbangan kepadanya.
“Kutipan dana yang sudah terkumpul sebanyal RM60,692.73 sehingga hari ini dan saya hanya mendoakan supaya semua proses rawatan berjalan lancar dan dana dapat terkumpul penuh sebelum rawatan bermula 22 Disember ini.
“Minggu lalu, bagi prosedur pertama, lima batang gigi sudah dicabut bagi mengelakkan kesan radang yang bakal diterima selepas menjalani proses HyBIRT,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sementara itu, bagi Pengasas Jiwa Amal Malaysia, Syed Zainal Abidin Jamalullail, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah melancarkan dana buat Mohd. Yazid dalam mengurangkan beban yang dialaminya sejak kisahnya tular di media.
“Dia kini berlawan dengan masa dan setiap hari yang berlalu ada peluangnya untuk meneruskan kehidupan dan rawatan yang mampu menyelamatkan nyawanya menelan kos RM150,000 dan dia tidak mampu tanggung sendirian.
“Dia pun tidak meminta banyak dan hanya sedikit bantuan daripada kita untuk meneruskan hidup, untuk kembali tersenyum serta meneruskan kerjaya umrahnya,” katanya.
Dalam pada itu, kos rawatan Mohd. Yazid yang mencecah RM150,000 meliputi kos rawatan semasa, kos pembedahan serta kos rawatan selepas pembedahan.
Oang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan bagi rawatan beliau boleh menyalurkan ke akaun Ambank Jiwa Amal Malaysia 8881-0591-3663-6 (Rawatan Breffa). – MalaysiaGazette