Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak memfitnah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh ketika berucap pada satu forum, empat tahun lalu.

Hakim Arziah Mohamed Apandi menolak saman fitnah Hannah selepas berpuas hati kenyataan yang dibuat oleh Musa pada 2020 tidak berniat jahat terhadap Menteri Belia dan Sukan itu.

Mahkamah memerintahkan Hannah selaku plaintif membayar kos RM40,000.

Sementara itu, peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Hannah memberitahu wakil media, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Musa ketika memberi keterangan berkata, gerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku tulisan Hannah `Becoming Hannah: A Personal Journey’, video dan pendedahan beberapa pakar akademik.

Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.

Musa, 73, bagaimanapun menyatakan, ucapan itu disampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme.

Dalam penghakimannya, Hakim Arziah berkata, plaintif gagal membuktikan dua elemen penting fitnah bahawa kenyataan secara keseluruhan merujuk kepadanya dan Musa (defendan) bertanggungjawab atas penerbitan tersebut.

Beliau berpendapat, defendan hanya penceramah jemputan tanpa mengetahui bahawa forum itu akan disiarkan, selain hanya mengetahui penstriman Facebook Live pada penghujung forum.

Hakim Arziah berpendirian berpendirian, Musa tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan itu manakala statistik menunjukkan kurang daripada 1% kadar penglibatan, tiada komen negatif yang ditujukan kepada plaintif serta tiada bukti penyebaran dibuat secara meluas.

Dalam keputusannya, Hakim Arziah turut berkata, prinsip undang-undang memerlukan plaintif membuktikan penerbitan itu dibenarkan oleh defendan. Di sini, penerbitan itu jelas oleh UiTM, bukan defendan.

“Dalam hal ini, defendan tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan dan tahap penerbitan juga adalah minimum,” ujar beliau.

Hakim berkenaan turut menyentuh pembelaan Musa bahawa kenyataannya dibuat sebahagiannya berdasarkan penulisan akademik dan analisis seorang pensyarah dan pengalaman beliau ketika berjawatan Ketua Polis Negara.

Ujar beliau, mahkamah mempertimbang pembelaan Musa bahawa plaintif sendiri mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia dan ingin berkhutbah melalui politik manakala bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya penganut Kristian.

Hakim Arziah turut menyatakan, defendan berjaya membuktikan pembelaan bersyarat bahawa forum itu dianjurkan oleh Kursi Institut Majlis Raja-Raja UiTM manakala defendan selaku bekas KPN, mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk bercakap mengenai perkara yang melibatkan negara.

Hannah menyaman Musa atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen walhal prinsip Derbyshire menyatakan, wakil rakyat tidak boleh menyaman fitnah berkaitan tugas awam.

“Satu-satunya pengecualian ialah apabila mereka menyaman atas kapasiti peribadi mengenai kelakuan peribadi mereka,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here