ISU kebersihan premis makanan yang membawa kepada penutupan 52 premis di Pulau Pinang sejak Januari lalu tidak boleh dipandang enteng.
Ini kerana ia bukan sekadar masalah kebersihan biasa tetapi satu isu yang memberi impak besar terhadap imej negeri Pulau Pinang, yang terkenal sebagai destinasi pilihan pelancong dan pengunjung tempatan.
Malah, sektor makanan boleh dikatakan antara nadi ekonomi Pulau Pinang dan negeri ini terkenal dengan kepelbagaian makanan tempatan yang menarik pelancong dari seluruh dunia.
Oleh itu, isu kebersihan di premis makanan yang melibatkan penemuan najis tikus dan lipas memberi impak langsung kepada sektor pelancongan.
Pelancong, terutamanya yang mencari pengalaman gastronomi boleh kehilangan keyakinan terhadap kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan.
Sekiranya imej ini tercemar, ia berisiko mengurangkan jumlah pelancong dan pendapatan ekonomiyang bergantung pada industri ini.
Justeru tindakan tegas yang diambil oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menutup premis yang gagal mematuhi standard kebersihan adalah langkah yang sangat penting demi memastikan kesejahteraan semua pihak.
Tindakan penutupan ini perlu dilihat sebagai satu amaran yang jelas kepada pengusaha perniagaan bahawa kebersihan bukan sahaja kewajipan undang-undang, tetapi juga tanggungjawab sosial yang memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat dan ekonomi.
Langkah MBPP ini juga memberi mesej penting bahawa pengusaha perniagaan mesti lebih proaktif dalam memastikan premis mereka mematuhi standard kebersihan yang tinggi.
Ini bukan sahaja penting untuk keselamatan pelanggan, tetapi juga untuk menjaga keberlangsungan perniagaan itu sendiri.
Pelanggan yang merasa selamat dan yakin dengan kebersihan sesuatu premis lebih cenderung untuk datang kembali dan memberi sokongan berterusan. Sebaliknya, premis yang gagal menjaga kebersihan berisiko kehilangan pelanggan, reputasi dan akhirnya, pendapatan.
Sebagai kesimpulannya, tindakan diambil MBPP adalah langkah yang wajar dan perlu diteruskan bagi memastikan kebersihan premis perniagaan sentiasa dipatuhi.
Sekiranya isu kebersihan di premis makanan dibiarkan tanpa kawalan, ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam tetapi juga boleh merosakkan persepsi umum terhadap Pulau Pinang. – MalaysiaGazette