Logo PTPTN

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Malaysia menyuarakan kecaman terhadap tindakan Kerajaan Campuran yang dilihat menekan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan ugutan tindakan mahkamah.

Armada menyifatkan langkah tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap janji-janji pilihan raya yang pernah dilafazkan.

Exco Armada, Muhammad Airil Fitri Jalalludin berkata, janji pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma yang sering dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutunya ketika Pilihan Raya Umum lalu kini terbukti sebagai retorik semata-mata.

“Manifesto Pakatan Harapan pada PRU-15 turut menjanjikan program pemansuhan hutang bersasar, namun janji itu gagal direalisasikan.

“Tindakan kerajaan ini bukan sahaja melanggar janji, tetapi juga menekan peminjam yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pendekatan agresif seperti mengeluarkan notis tindakan mahkamah mencerminkan sikap kurang empati terhadap rakyat.

Beliau turut menyatakan rasa kecewa terhadap sikap kerajaan yang tidak sensitif terhadap isu ini.

“Kerajaan perlulah mencari pendekatan lebih manusiawi dalam menangani masalah pembayaran balik hutang PTPTN seperti menumpukan kepada bantuan golongan B40 dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Kaedah penyelesaian yang tidak membebankan rakyat perlu dipertimbangkan terutamanya dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar.

“Kerajaan perlu berhenti mengugut peminjam dan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat,” ujarnya.

Armada berharap kerajaan dapat mengambil langkah yang lebih bijaksana, selaras dengan slogan yang sering dilaungkan semasa kempen pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here