Aplikasi Penang Smart Parking

BUKIT MERTAJAM- Pengguna parkir di Pulau Pinang yang tidak dapat membayar caj meletak kenderaan disediakan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak semalam, tidak akan dikenakan saman.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata hal itu berikutan pengguna iOS mengalami kesulitan mengakses aplikasi Penang Smart Parking (PSP) versi 3.0 selepas pelancaran kemas kini terbaharu.

“(Pengguna) Android memang tiada masalah, tetapi iOS masih lagi menghadapi sedikit masalah dan kita harap dalam hari ini dapat selesai, jadi saya telah keluarkan arahan selagi PSP tidak dapat digunakan di MBSP dan MBPP, maka tiada penguatkuasaan saman bayaran parkir.

“Pengguna tidak perlu risau kerana kalau (PSP itu) tidak dapat berfungsi memang mereka tidak dapat bayar caj letak kenderaan di tapak parkir MBSP dan MBPP, pengguna boleh letak di dalam parkir lot tanpa bayaran dan tiada saman dikenakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBSP 2025 dan pada majlis itu, sebanyak 24 orang mengangkat sumpah di Menara Bandaraya MBSP yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Semalam, media melaporkan lebih 3,000 pengguna iOS berdepan kesulitan mengakses aplikasi PSP versi 3.0 selepas pelancaran kemas kini terbaharu yang berpunca daripada ketidakserasian fungsi log masuk biometrik baharu dengan data akaun versi sebelumnya (2.0.6).

H’ng dilaporkan berkata masalah itu berlaku disebabkan kegagalan aplikasi dalam menyelaraskan data pengesahan pengguna yang telah mengemas kini aplikasi mereka melalui Apple Store.

Mengulas lanjut, H’ng berkata pihaknya mengingatkan kepada pengguna jalan raya agar meletakkan kenderaan di tempat parkir yang disediakan dan jangan sesuka hati meletakkan kenderaan mereka kerana penguatkuasaan lain oleh dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu masih diteruskan.

“Jangan ambil kesempatan untuk letak kenderaan di mana-mana sesuka hati kerana memang kita memberi kelonggaran penguatkuasaan, tetapi hanya saman berkaitan kutipan caj parkir, untuk kesalahan-kesalahan lain penguatkuasaan masih berjalan seperti biasa,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here