99 Wonderland Park Wildlife in the City menawarkan hampir 90 gerai percuma lengkap dengan kemudahan kepada peniaga tanpa apa-apa bayaran.

KUALA LUMPUR: Bagi membantu usahawan kecil menjana pendapatan tambahan, 99 Wonderland Park Wildlife in the City menawarkan hampir 90 gerai percuma lengkap dengan kemudahan kepada peniaga tanpa apa-apa bayaran.

Menurut pengasas Kumpulan JL99, Datuk Seri BK Jeff Lee, inisiatif ini diperkenalkan bagi memberi peluang kepada usahawan yang sukar mendapatkan tapak perniagaan di ibu kota.

Kata beliau, ketika ini krisis ekonomi terus mencengkam rakyat pelbagai golongan terutamanya dalam kalangan B40 yang terus berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Ini termasuklah kumpulan peniaga kecil, oleh yang demikian pihaknya telah tampil memberikan peluang perniagaan kepada golongan ini dengan memberikan tapak percuma lengkap dengan kemudahan tanpa bayaran.

Jelas beliau, ketika musim cuti sekolah serta hujung tahun, 99 Wonderland Park selalunya akan menerima kunjungan umum tidak kira penduduk setempat mahupun pelancong dalam jumlah ramai, ada kalanya mencecah 10,000 pengunjung.

“Sememangya ini peluang keemasan bagi peniaga kecil yang mahu menjual barangan mereka terutamanya makanan kepada pengujung 99 Wonderland Park. Kita sentiasa tampil dengan pelbagai inisiatif CSR saban tahun dan kali ini kita beri golongan peniaga pula.

“Tidak ada apa-apa bayaran dikenakan kepada peniaga meskipun menyediakan kemudahan seperti khemah dan bekalan elektrik. Saya buka tapak perniagaan ini supaya usahawan dapat memasarkan produk mereka tanpa kos. Mereka hanya perlu membawa produk untuk berniaga di sini.

“Kita sediakan khemah, gerai, dan dua soket elektrik untuk setiap peniaga. Semua kemudahan ini boleh digunakan sepanjang operasi mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Inisiatif yang dimulakan sejak 20 Disember lalu, lebih 70 usahawan telah memanfaatkan peluang ini untuk menjual pelbagai produk seperti makanan, minuman, pakaian, dan aksesori.

Kata Jeff Lee yang juga Ketua Eksekutif JL99, inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat sekitar di sini.

“Melihat kepada sambutan ini, kita rancang untuk sambung inisitaif ini sehingga Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Mungkin pada sama itu, kita kenakan caj minima antara RM20 hingga RM30 bagi kos elektrik. Kita tengok bagaimana nanti,” ujarnya.

Selain membantu usahawan, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti menaiki bot mengelilingi tasik, menyaksikan pertunjukan pancutan air 3D, dan memberi makan haiwan seperti buaya, ikan gergasi, dan rusa.

Taman tema seluas 9.2 hektar milik Kumpulan JL99 itu menampilkan pelbagai tarikan, termasuk lebih 60 spesies haiwan liar yang diimport dari serata dunia.

Dibuka bermula jam 5 petang sehingga 11 malam untuk hari biasa dan 5 petang hingga 12 tengah malam  pada hujung minggu, taman ini turut mencatat sejarah apabila diiiktiraf dalam MBOR, susulan kejayaan mengadakan pertunjukan air pancut muzikal terbesar.

Taman terbabit turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records  atas kejayaan menganjurkan air pancut muzikal bersama animasi 3D. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here