KUALA LUMPUR – Penyampai baharu radio Zayan, Nana Mahazan meluahkan rasa syukur kerana dapat kembali ke konti radio selepas 12 tahun meninggalkan kerjaya itu.
Menerusi perkongsian video di Instagram (IG), Nana atau nama sebenarnya, Nurul Hana Che Mahazan juga menganggap dirinya masih belajar dan gembira dapat berganding dengan penyampai radio senior Faizal Ismail atau FBI di konti.
“Alhamdulillah, syukur kerana Allah bagi nikmat untuk kembali bekerja selepas 12 tahun tak ‘on air’. Saya juga berkobar-kobar nak datang kerja kerana maklum balas positif dari pendengar,
“Dulu lain dan sistem radio juga sudah lain sekarang. Beri masa untuk saya belajar ya,” tulisnya.
Selain menjadi penyampai radio Zayan, Nana juga pengacara program Borak SeeNI di saluran Astro Prima.
Nana juga bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1) pernah berkhidmat sebagai penyampai di Radio Era dan Xfm sebelum meninggalkan konti pada 2011. – MalaysiaGazette
















