KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah selamat menimang cahaya mata ketujuh hari ini.
Berita gembira kelahiran bayi perempuan seberat 2.94 kilogram (kg) pada pukul 9.38 pagi tadi dikongsikannya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Alhamdulillah, pembedahan semua sempurna, anak dan isteri kedua-duanya okay. Sangat bersyukur Allah memberi kami rezeki ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menitipkan ucapan tahniah,” katanya di laman sosial itu.
Terdahulu, Jamal dilapor mahu memberi nama Magdalena Yamani iaitu gadis yang dipuja Nabi Yusof kepada cahaya mata kelima hasil perkongsian hidup dengan isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, 29.
Jamal dan Zai Izzati yang dinikahi pada 1 April 2017 dan dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 6; El Isaac Yamani, 5; Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2.
Jamal juga mempunyai lagi anak lelaki hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Osama Yamani, 22, dan Ahmad Zaki Yamani, 18. – MalaysiaGazette