Nabil Halimi

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara dalam tahanan rumah membuktikan kerajaan telus dalam urusan undang-undang, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ketua penerangannya, Nabil Halimi berkata,  keputusan memihak kepada bekas Perdana Menteri itu mencerminkan  kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mencampuri urusan undang-undang di negara ini.

“Kerajaan Madani menghormati keputusan mahkamah yang dibuat berdasarkan fakta dan bukti serta memastikan proses perundangan dijalankan dengan adil dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.

Sehubungan itu, panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.

Dalam pada itu, Nabil berkata, rakan-rakan dalam Kerajaan Madani khususnya dari Barisan Nasional (BN) diminta tidak terpedaya dengan sentimen politik yang cuba dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

“Perlu diingatkan beberapa pemimpin PN yang sebelum ini lantang menyuarakan isu 1MDB seperti Datuk Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Faysal kini mengambil pendekatan bertentangan. Perubahan pendirian ini menimbulkan persoalan tentang keikhlasan mereka dan motif di sebaliknya.

“Kerjasama antara Pakatan Harapan dan BN dalam Kerajaan Madani telah membuahkan hasil yang banyak termasuk peningkatan pelaburan, inflasi yang terkawal dan pengiktirafan positif terhadap Malaysia di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, usaha bersama  perlu diteruskan tanpa digugat oleh permainan sentimen atau taktik politik yang bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Jangan biarkan permainan sentimen seumpama ini memecahbelahkan perpaduan yang telah kita bina demi kesejahteraan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here