KUALA LUMPUR – Shalini Periasamy ‘Alpha Quinn’ hari ini menafikan tuduhan yang mengaitkannya dengan kematian seorang individu bernama Esha.
Shalini berkata, kini beliau telah mengambil tindang undang-undang terhadap dua individu yang didakwa telah memfitnah dan mencemarkan nama baiknya serta keluarganya.
“Saya telah mengambil tindakan saman fitnah terhadap Jegatheeswaran Sekharan dan Panimalar Karunakaran pada Disember tahun lalu. Dua individu ini menyebarkan pelbagai fitnah secara peribadi dan melalui konspirasi, sehingga mencetuskan tanggapan buruk terhadap saya dalam kalangan masyarakat.
“Mereka telah menyebarkan naratif palsu dan tidak tepat mengenai saya dan keluarga saya. Tindakan mereka telah menjejaskan taraf kehidupan dan menimbulkan kesusahan kepada saya dan keluarga, baik dalam kehidupan harian mahupun dalam urusan mencari rezeki,” katanya yang juga dikenali sebagai ‘Alpha Quinn’ pada sidang media, hari ini.
Shalini menjelaskan sebelum ini beliau pernah didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan mengaku bersalah pada 16 Julai 2024, yang membawa kepada denda RM100.
Pempengaruh media sosial itu memberitahu, tiada pertuduhan lain pernah dikenakan terhadapnya, khususnya yang mengaitkan beliau dengan kematian Esha.
“Polis telah menjalankan siasatan dengan rapi, dan saya tidak pernah disabitkan dengan apa-apa pertuduhan berkaitan kematian mana-mana individu, sama ada secara langsung atau tidak. Namun, kedua-dua individu ini telah memberi naratif salah yang mengaitkan saya dengan kematian Esha,” jelasnya.
Shalini menyeru masyarakat, terutama pengguna media sosial dan pempengaruh, agar tidak terlibat dalam perbuatan membuli siber.
“Sebanyak mana saya bersimpati dengan kematian mendiang Esha, ironinya saya kini menjadi mangsa buli siber. Saya menyeru semua pengguna media sosial untuk lebih bertanggungjawab dan mengelakkan perbuatan yang melanggar nilai kesopanan dan kesusilaan,” ujarnya.
Beliau yakin dengan sistem perundangan yang mampu membawa keadilan.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak lain yang terus membuli saya secara lisan, visual, atau dalam bentuk lain, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang tambahan, tolong gunakan media sosial dengan berhemah,” ujarnya.
Pada 5 Julai, Esha, 30, ditemui meninggal dunia, sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya. – MalaysiaGazette