JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan dan pengendalian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedia ada.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, ini kerana SOP yang dilaksanakan ketika ini adalah pada tahap yang terbaik.
Pihaknya kata beliau, akan terus memastikan SOP itu terus dipatuhi supaya tiada lagi isu kebocoran kertas peperiksaan ditimbulkan.
Beliau sekali gus menafikan kertas peperiksaan SPM 2024 bagi mata pelajaran Sejarah berlaku kebocoran.
“Untuk mata pelajaran Sejarah, tidak berlaku kebocoran, hasil siasatan yang dilaksanakan oleh KPM. Bila disebut kebocoran, (bermaksud) keseluruhan naskah peperiksaan itu bocor, tetapi, untuk kertas Sejarah, bila dibuat siasatan, tiada elemen yang berkaitan kebocoran (dikesan).
“SOP sedia ada yang telah berkuat kuasa sebenarnya sudah berada pada tahap yang terbaik dan kita akan terus pastikan SOP ini dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Penyampaian Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.
Azman berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan berlaku kebocoran kertas peperiksaan Sejarah SPM 2024, baru-baru ini.
Khamis lalu, KPM dalam satu kenyataan, menegaskan bahawa dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas, malah tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.- MalaysiaGazette