LONDON – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan pasukan kendaliannya mungkin skuad paling teruk dalam sejarah kelab selepas kekalahan ke-10 Liga Perdana musim ini di tangan Brighton & Hove Albion awal pagi tadi.
Pendapat itu diluahkan selepas kekalahan memalukan 1-3, sekaligus meletakkan United di tempat ke-13 liga dan bakal mencatatkan pencapaian terburuk dalam era Liga Perdana Inggeris.
“Bayangkan bagaimana rasanya ini untuk penyokong Manchester United dan bayangkan bagaimana rasanya untuk saya.
“Kita mendapat jurulatih baharu yang kalah lebih banyak daripada jurulatih sebelum ini (Erik ten Hag). Saya sepenuhnya sedar tentang itu.
“Saya tidak akan berubah, tidak kira apa pun. Saya tahu kami boleh berjaya, tetapi kami perlu bertahan melalui masa ini. Kerana saya tidak naif dan saya tahu kami perlu bertahan sekarang.
“Kami sedang menjadi pasukan terburuk, mungkin dalam sejarah Manchester United,” kata Amorim kepada Sky Sports selepas perlawanan berakhir.
Brighton mudah memperoleh kemenangan, manakala United hanya berjaya mengumpulkan 11 daripada 33 mata sejak Amorim menyertai kelab dari Sporting pada November lalu.
Ini adalah kali pertama sejak musim 1989-90 kelab itu kalah dalam 10 daripada 22 perlawanan pertama liga.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 20 kali itu kini berada hampir sama jauh dengan zon penyingkiran seperti mereka kepada lapan pasukan teratas, dengan 26 mata daripada 22 perlawanan.
Kedudukan terburuk pasukan dalam era Liga Perdana ialah musim lalu apabila mereka menamatkan saingan di tempat kelapan.
United yang kali terakhir disingkirkan dari liga utama pada tahun 1974, tewas enam daripada 12 perlawanan liga pertama di tempat sendiri, rekod terburuk sejak musim 1893.
Kali terakhir mereka tewas 10 daripada 22 perlawanan pertama ialah di bawah Alex Ferguson, yang kemudian menjadi pengurus terhebat kelab dengan 13 gelaran Liga Perdana Inggeris. – Agensi
















