Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan DerisĀ  mengemukakan pembelaan wajar dan komen adil bagi menjawab saman fitnah yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain di Mahkamah Tinggi di sini.

Sambil menafikan memfitnah Razarudin, Wan Muhammad Azri atau dikenali sebagai Papagomo berkata, Razarudin tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan tindakan saman terhadapnya.

Ujar Wan Muhammad Azri, reputasi KPN sebagai penjawat awam tidak dilindungi di bawah undang-undang fitnah sedia ada atau Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (yang menjamin kebebasan bersuara).

Penulis blog itu selaku defendan menyatakan demikian dalam pembelaan yang difailkan melalui peguamnya, Tetuan Law Practice of Rafique, minggu lalu.

Wan Muhammad Azri Wan Deris

Dalam pembelaan itu, Wan Muhammad Azri menafikan bahawa kenyataannya menjatuhkan reputasi Razarudin kerana ia tidak menggambarkan bahawa beliau seorang yang korup atau menyalahgunakan kuasa terhadap masyarakat.

Menurut Wan Muhammad Azri, Razarudin sebagai pegawai awam yang dipertanggungjawabkan dengan keselamatan negara dan ketenteraman awam, harus tertakluk kepada kritikan umum.

Papagomo turut menafikan bertanggungjawab menerbitkan kenyataan fitnah di media sosial kerana beliau tidak menguruskan akaun-akaun tersebut atau mempunyai kawalan atau milikan eksklusif ke atasnya.

Defendan turut menyatakan, kenyataannya terhadap Razarudin adalah balasan ke atas kenyataan beliau kepada media cetak dan dalam talian tanpa sebarang siasatan, yang memperjudiskan dirinya.

Beliau turut menafikan bahawa kenyataannya dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah Razarudin di mata masyarakat.

Katanya, sebagai pegawai awam, Razarudin sepatutnya bertanggungjawab, telus dan menunjukkan tadbir urus yang baik.

Pada 26 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan serta injunksi untuk menghalang defendan membuat atau menerbitkan semula kenyataan itu, sama ada sendiri atau melalui individu ada kaitan dengannya.

Razarudin juga mahu penulis blog itu memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah daripada semua akaun media sosial serta media massa dan dalam talian, di mana saja ia telah disiarkan.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi melarang Wan Muhammad Azri daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Razarudin sehingga kes saman terhadapnya diputuskan.

Perkara itu ditentukan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan injunksi inter-parte (secara dua pihak) oleh Razarudin selaku plaintif yang menghalang Wan Muhammad Azri mengeluarkan kenyataan tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here