Fahmi Fadzil

CYBERJAYA – Portal berita, Malaysiakini bukan sasaran siasatan terhadap bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, kata Ahmad Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata tindakan polis yang merampas komputer riba disebabkan portal terbabit adalah saksi dalam siasatan kes berkenaan.

“Setidak-tidaknya saya difahamkan pihak Malaysiakini bukan (sasaran siasatan) tetapi mereka adalah saksi dan bukan sasaran.

“Mungkin berdasarkan maklum balas yang diterima oleh polis daripada Jabatan Peguam Negara mengenai kertas siasatan yang telah dihantar dalam kes berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas selepas merasmikan Chatbot Sebenarnya.my di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), pagi ini.

Dalam pada itu, Fahmi percaya komputer riba berkenaan diambil hanya bertujuan untuk membantu siasatan dan percaya iannya akan dipulangkan selepas siasatan terhadap bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu selesai.

“Ia adalah untuk membantu dalam proses siasatan setelah siasatan selesai ia akan dipulangkan, tidak ada masalah”, jawab Fahmi lagi.

Semalam, polis bertindak merampas sebuah komputer riba milik portal berkenaan untuk membantu siasatan terhadap Khairy.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/01/13/kj-selesai-diambil-keterangan-sedia-beri-kerjasama/

Sebelum ini, Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mengambil kenyataan daripada ketua editor portal berita itu mengenai perkara tersebut.

Untuk rekod, polis sedang menyiasat Khairy di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas tuduhan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Ini berikutan laporan polis yang dibuat oleh setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, iaitu Suraya Yaacob, mengenai artikel Malaysiakini yang memetik komen Khairy dalam podcastnya Keluar Sekejap.

Khairy ketika podcast tersebut berkata isu titah adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mencetuskan krisis kepercayaan dalam UMNO.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast