KUALA LUMPUR – Maritim Negeri Terengganu telah menahan sebuah bot membawa muatan melebihi kapasiti serta mengabaikan aspek keselamatan dalam Op Iman sekitar 0.9 batu nautika timur laut Muara Kuala Besut semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid, bot berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Besut menuju ke Pulau Perhentian kira-kira pukul 9 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 20 penumpang termasuk nakhoda, pembantu nakhoda serta tujuh kanak-kanak.
“Lebih membimbangkan, kesemua mereka tidak memakai jaket keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bot tersebut beroperasi tanpa lesen yang sah daripada Jabatan Laut Malaysia dan membawa lebih ramai penumpang daripada kapasiti yang dibenarkan.
“Kami pandang serius terhadap isu ini kerana pengabaian terhadap prosedur keselamatan seperti tidak memakai jaket keselamatan serta tidak menyelenggara peralatan kecemasan seperti alat pemadam api yang sudah tamat tempoh, boleh menyebabkan risiko kehilangan nyawa pada bila-bila masa.
“Oleh itu, lebih banyak rondaan di kawasan pelancongan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan pengunjung serta mencegah sebarang insiden yang tidak diingini,” tambahnya.
Kes akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan bot berkenaan telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Besut untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia terus komited memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negara terutamanya di kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai. – MalaysiaGazette