KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada separuh tahun kedua 2025.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kerajaan bukannya membatalkan subsidi, tetapi membolehkan golongan yang layak untuk menerima bantuan tersebut.
Beliau berkata, orang ramai dan ahli ekonomi semuanya tahu bahawa subsidi RON95 adalah tidak munasabah, tetapi rata-rata juga berpendapat kepentingan mereka terjejas apabila kaedah subsidi diubah.
“Kerajaan Perpaduan sebagai pemerintah berpendapat kami mempunyai tanggungjawab untuk negara.
“Oleh itu, selain mahu menang pilihan raya, kami juga berharap subsidi tidak akan terlalu membebankan negara,” katanya dipetik China Press dalam wawancara.
Dalam perkembangan lain, Lih Kang berkata, vaksin buatan Malaysia dijangka akan dilancarkan pada 2027, menanda langkah penting ke arah sara diri vaksin.
Beliau berkata, jangkaan itu adalah tiga tahun lebih awal berbanding sasaran asal pada 2030.
Menurutnya, pembangunan vaksin tempatan itu adalah berasas kepada keperluan semasa dan kejayaannya akan mengurang kebergantungan kepada import.
“Vaksin buatan Malaysia yang pertama besar kemungkinan adalah untuk kegunaan kanak-kanak,” katanya.