Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 April depan bagi menyampaikan keputusan saman fitnah RM2 juta oleh bekas menteri, Khairy Jamaluddin terhadap pendakwah, Ustaz Abu Syafiq.

Ustaz Abu Syafiq atau nama sebenar Mohd Rasyiq Mohd Alwi didakwa KJ telah memfitnahnya berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan menetapkan tarikh itu selepas peguam mewakili Khairy, Abdul Rashid Ismail selesai berhujah dan menutup kes hari ini.

Kata beliau, mahkamah akan meneliti setiap hujah dan testimoni sebelum membuat keputusan ianya memenuhi semua elemen fitnah.

Ketika ini, Khairy sedang menuntut RM2 juta iaitu RM200,000 bagi setiap lapan hantaran fitnah oleh pendakwah tersebut selain tuntutan ganti rugi teruk dan teladan.

Ketika prosiding, hujah Abdul Rashid, bukan sahaja Khairy terlibat sebaliknya defendan juga turut melibatkan keluarga anak guamnya dengan cara memuat naik gambar anak bawah umur kononnya kanak-kanak itu tidak divaksin.

“Ini adalah fitnah bukan sahaja terhadap anak guam saya sebaliknya keluarganya juga,” katanya.

Khairy mendakwa Mohd Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober tahun lepas, 6 dan 10 Januari 2022.

Dakwanya, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Dalam saman sama, Khairy pernah menyaman bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan fitnah isu Covid-19 namun perkara itu telah selesai luar mahkamah defendan memohon maaf berhubung kenyataanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here