PERMATANG PAUH – “Aku pernah mempunyai ramai rakan-rakan di sekeliling. Semua itu ketika usia muda semasa menjadi penyanyi di sebuah restoran dengan tepukan para penonton.
“Tetapi apabila sudah meningkat usia, semua itu tidak ada lagi, seolah-olah aku kini hidup bersendirian,” kata Tan Mei Paik.
Menceritakan lebih lanjut, wanita yang berusia 51 tahun itu berkata, ketika berusia 18 tahun lagi dia sudah mendirikan rumah tangga namun perkahwinannya tidak bertahan lama dan kemudian berkahwin untuk kali kedua.
Kini setelah mencecah usia separuh abad, Mei Paik mengambil keputusan ‘berhijrah’ secara sukarela dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.
“Saya memulakan karier menjadi penyanyi di sebuah restoran sejak sekian lama dan berkahwin pada usia 18 tahun. Selain itu saya pernah bekerja di kedai minuman keras.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-08-at-15.14.58_7cd69f5c-300x199.jpg)
“Saya juga pernah berkahwin kali kedua. Dari dua perkahwinan itu, saya mempunyai dua anak lelaki yang berusia 30 dan 21 tahun.
“Akhir-akhir ini saya terfikir sampai bila kehidupan saya akan berterusan seperti ini. Kini saya tidak mempunyai sesiapa lagi. Emak dan bapa pun sudah sekian lama meninggal dunia.
“Setelah bertemu seorang kawan mualaf, saya tertarik untuk bersyahadah dan peluk Islam apabila mendapati kehidupan kawan tadi begitu tenang,” katanya.
Mei Paik yang tinggal di Bukit Mertajam mengucapkan syahadah dipimpin oleh ahli Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) yang juga merupakan seorang guru, Che Siti Nuraisyah Che Suhaimi.
Program bersyahadah di Masjid Permatang Janggus dekat sini itu turut disaksikan oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim dan beberapa jemaah selepas selesai solat Jumaat.
Sebelum bersyahadah, Che Siti Nuraisyah turut menerangkan kepada Mei Paik mengenai agama Islam termasuk Rukun Islam dan Rukun Iman dalam bahasa Mandarin.
Mei Paik berdoa agar pengakhiran hidupnya akan lebih baik dan terjamin kerana dunia glamor sebelum ini tidak akan bertahan untuk selama-lamanya.
“Saya yakin Islam akan menjaga dan selamatkan saya di dunia dan akhirat,” katanya.
Mei Paik gembira apabila mendapati ramai rakan-rakan dari kalangan orang Islam sanggup memberi bimbingan mengenai agama Islam.
“Jabatan agama Islam negeri juga sedia membantu dan membimbing saya. Saya juga teringin untuk menjalani ibadah puasa Ramadan pada bulan depan,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-08-at-15.15.26_6784dd4e-1024x473.jpg)
Menjawab satu pertanyaan, Mei Paik berkata, banyak pengalaman dilalui ketika berumah tangga dan menjadi penyanyi di restoran.
“Semua pengalaman itu mengajar saya erti kehidupan sebenar. Masa kita muda semua itu memang indah dengan ramai kawan-kawan di sekeliling tetapi apabila sudah meningkat usia baru kita sedar bahawa ia hanya kehidupan glamour,” katanya. – MalaysiaGazette