MELAKA – Selepas kejayaannya membina karier hampir 10 tahun dalam dandanan rambut, Hillmen Hair Studio kini menawarkan kursus gunting rambut secara percuma kepada golongan belia.
Pemiliknya, Muhammad Hilman Mohd Rosli, 28, berkata, melalui Hillmen Hair Academy yang baru ditubuhkan Januari lalu, dia menyasarkan untuk melahirkan 100 tukang gunting rambut ‘premium’ menjelang akhir tahun ini.
Menurut usahawan muda itu, sebagai sumbangan kepada golongan belia semua kaum berusia bawah 25 tahun, dia memilih untuk menaja sejumlah pelajar tertentu yang melepasi syarat kelayakaan selepas proses temuduga.
“Syarat paling utama adalah lelaki bujang berumur bawah 25 tahun, golongan B40 yang mempunyai minat dalam kemahiran gunting rambut kerana nilai yang ditaja selama setahun tempoh kursus berjumlah hampir RM20,000.
“Sebahagian besar peserta pula adalah mereka yang berumur sehingga 60 tahun kerana ramai yang mula sedar tukang gunting rambut ‘premium’ seperti di Hillmen adalah kerjaya lumayan dapat menjamin masa depan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, pengambilan kumpulan pelajar bagi kursus gunting rambut selama setahun itu turut menyediakan penginapan selain memberikan gaji kepada peserta.
“Kita akan bahagikan kepada lima pengambilan setahun iaitu sebulan menjalani latihan teori dan praktikal di akademi diikuti bulan kedua melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam dunia sebenar.
“Pada bulan ketiga dan seterusnya, mereka akan diserap bekerja di mana-mana tiga cawangan Hillmen Hair Studio di Ayer Keroh, Sungai Udang atau Masjid Tanah dan mendapat gaji tetap,” katanya.
Menurutnya adalah menjadi hasrat Hillmen Hair Academy untuk mengubah tanggapan ramai mengenai pekerjaan tukang gunting rambut di negara ini.
“Sebenarnya, melalui dorongan dan kursus yang tepat, tukang gunting rambut boleh menjadi karier lumayan termasuk menjadi tukang dandanan rambut orang kenamaan seperti dilahirkan di Hillmen,” katanya.
Mereka yang berminat untuk menyertai Hillmen Hair Academy boleh menghubungi 017-5796676 untuk pertanyaan lanjut. – MalaysiaGazette