Bekas Naib Canselor UKM, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman

KUALA LUMPUR- Istana Negeri Sembilan menarik balik gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, ia adalah bagi menuruti titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mohd Ekhwan menerima anugerah Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) pada 14 Januari 2019.

“Keputusan ini dibuat bagi memelihara kehormatan dan martabat institusi diraja Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 5 Februari, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa polis telah mengambil keterangan dua pegawai pengurusan tertinggi sebuah universiti awam tempatan berhubung dakwaan fitnah yang melibatkan Prof Mohd Ekhwan.

Artikel berkaitan:

Terima kasih atas fitnah yang dilemparkan: Naib Canselor UKM letak jawatan

Beliau berkata, polis telah menerima dua laporan daripada individu yang terlibat, dan keterangan mereka telah direkodkan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, pihak berkaitan lain juga akan dipanggil bagi membantu siasatan, yang dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum itu, dakwaan mengenai penyalahgunaan kuasa dan salah laku di UKM yang melibatkan Mohd Ekhwan telah tular di media sosial.

Mohd Ekhwan juga telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa pada 2 Februari.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan dan memaklumkan bahawa kementerian menerima keputusan tersebut kerana beliau menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada perkara lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here