Sebahagian pelajar tajaan YAyasan Selangor yang mengikuti program RKPYS.

KUALA LUMPUR – Seramai 423 orang murid Tingkatan 1 dari seluruh Selangor telah terpilih untuk ditempatkan di 27 buah sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor (YS) bagi mengikuti program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia– Yayasan Selangor (RKPYS) bagi sesi persekolahan tahun 2025/2026.

Murid-murid yang terpilih adalah dari keluarga berpendapatan rendah iaitu pendapatan perkapita kurang daripada RM2,000 dan mendapat sekurang-kurangnya TP 3 dalam semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah Tahun 6 di sekolah rendah.

Murid-murid tersebut mendaftar di sekolah-sekolah yang ditawarkan membabitkan sekolah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bangi, SMK Aminuddin Baki Kuala Lumpur (KL) dan Victoria Institution KL mengikut kuota Jabatan Pendidikan Selangor dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Manakala pendaftaran murid yang ditempatkan di asrama pusat YS iaitu Asrama Yayasan Selangor Klang dan Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam telah dijalankan pada 13 dan 16 Februari 2025.

Sesi persekolahan bermula pada 17 Februari 2025 mengikut ketetapan yang digariskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Untuk rekod, sejumlah 3,076 permohonan diterima bagi pengambilan murid kali ini yang dibuka pada 4 November 2024 hingga 19 November 2024.

Semakan keputusan permohonan pula dibuka pada 20 Januari 2025 sehingga 30 Januari 2025.

Sementara itu, keputusan permohonan murid rayuan pula akan dimaklumkan tertakluk kepada kekosongan dan dasar YS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast