Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad

GEORGE TOWN – Polis mendapat kebenaran menahan reman seorang wanita berusia 20 tahun selama empat hari bagi membantu kes membuang bayi lelaki yang dilahirkannya di sebuah perhentian bas di Jalan Perak, Pulau Tikus di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, permohonan reman bermula hari ini sehingga 20 Februari itu dibenarkan mahkamah bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan.

“Suspek yang merupakan ibu kandung bayi berkenaan masih dalam pemantauan di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala bayi lelaki itu turut ditempatkan di hospital sama untuk rawatan.

“Ibu dan anak dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis tahan gadis berusia 20 tahun buang anak di perhentian bas

MalaysiaGazette semalam melaporkan polis menahan seorang gadis tempatan susulan penemuan bayi lelaki di sebuah perhentian bas di Jalan Perak, Pulau Tikus di sini.

Abdul Rozak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu jam 10.14 pagi.

“Hasil siasatan mendapati bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan itu diletakkan dalam beg kertas sebelum ditinggalkan ibu kandungnya di perhentian bas tersebut jam 8.03 pagi.

“Bertindak atas maklumat dan risikan pihak polis kemudian memberkas gadis tempatan berusia 20 tahun di sebuah hospital swasta pada jam 2.20 petang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast