KLANG – Seorang lelaki cedera di bahagian kepala dan patah kaki kiri selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum bertembung dengan lori PDRM di Jalan Bukit Cherakah dari arah Jalan Paip, Meru menghala ke Puncak Alam, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, hasil siasatan awal mendapati, kenderaan terbabit gagal memotong kenderaan lain di laluan sama hingga masuk ke laluan bertentangan.
“Kaunter aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerima makluman mengenai insiden tersebut jam 9.15 pagi tadi.
“Hasil siasatan awal dijalankan, kemalangan jalan raya berlaku kira-kira jam 6.30 pagi. Kemalangan itu menyebabkan kerosakan di bahagian hadapan, lalu terbakar hampir 90 peratus.
“Manakala lori PDRM pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Vijaya Rao berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu kenderaan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disyaki patah kaki kiri.
“Manakala pemandu dan dua penumpang lori PDRM mengalami kecederaan ringan.
“Kedua-dua pemandu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut, sila hubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Kumarendran Varatharajoo di talian 017-5253136 atau mana-mana balai terdekat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette