KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat kes siasatan tatatertib yang membabitkan pegawai dan anggota polis yang berlarutan sejak tujuh tahun berjaya diselesaikan di bawah pentadbirannya.
Beliau berkata, penyelesaian kes berjaya dipercepatkan dengan menambah bilangan pegawai undang-undang di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.
Menurutnya, ini kerana kekurangan pegawai undang-undang telah menjadi faktor kelewatan kes siasatan tatatertib yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
“Untuk makluman, sejak saya masuk di sini dan sebelum ini mewarisi timbunan kes tatatertib yang tidak selesai. Sejak saya masuk sampai sekarang, tidak ada lagi kes tatarterbib yang kita tidak selesaikan.
“Kes sedang berjalan adalah, sebab jabatan intergriti kena angkat mengikut perintah tetap Ketua Polis Negara. Makna sistem yang ada sekarang, proses sekarang memadai untuk mengelakkan kelambatan membuat keputusan ke atas satu kes tatatertib.
“Sebelum saya masuk, ada kes enam tahun tidak ada keputusan, tujuh tahun tidak ada keputusan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (Jerlun-PN) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, kelewatan kes siasatan tatatertib yang lama seolah-olah telah menjatuhkan hukuman kepada pegawai atau anggota polis terbabit.
“Polis itu pun sudah pencen, sepanjang dia tertakluk kepada kes tatatertib, dia tidak boleh dapat kenaikan pangkat, tidak boleh ikut latihan, segala itu sudah satu hukuman enam tujuh tahun.
“Kerana itu bila saya masuk, saya telitikan dan saya fikir, benda ini boleh di atasi segera, masalahnya di mana? Tidak cukup pegawai undang-undang, jadi kita tambah pegawai undang-undang dan sekarang semua selesaai,” katanya. – MalaysiaGazette
















