KUALA LUMPUR- Empat puluh sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) Universiti Malaya terlibat dalam perayaan adat tradisional masyarakat orang Asli kaum Temuan, Hari Moyang di Kampung Bukit Lanjan, Petaling, Selangor.
Hari Moyang adalah hari untuk menghormati nenek moyang mereka melalui upacara adat yang diwarisi secara turun-temurun bagi menghormati ‘semangat’ yang dipercayai melindungi keselamatan dan membawa kehidupan sejahtera kepada generasi masa kini.
Ia menjadi platform untuk menyemai semangat perpaduan, mempertahankan identiti budaya, dan memperkenalkan warisan tradisional kepada generasi muda serta peserta program.
Majlis perasmian disempurnakan ADUN Bukit Lanjan, Pua Pei Ling dan turut dihadiri Tok Batin Atak A/L Akob, Ketua Kampung Orang Asli Bukit Lanjan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional masyarakat Temuan, termasuk tarian Sewang yang diiringi dengan alunan muzik tradisional.
Persembahan ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan menghayati keindahan budaya Orang Asli Temuan.
Menurut kenyataan Pasukan Semarak Prihatin ASTAR untuk Komuniti (SPARK), Universiti Malaya, projek itu dirangka dengan matlamat untuk membentuk peserta yang memiliki hati yang penyayang serta memupuk sifat empati, terutamanya terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
“Interaksi dalam projek ini mampu menghapuskan persepsi negatif dan membina hubungan yang lebih inklusif, sekaligus memperbaiki persepsi masyarakat terhadap golongan ini,” kata kenyataan itu.
Menurut Pengarah Projek SPARK, Nur Afifah Ahmad Damanhuri, para pelajar yang menyertai program ini berpeluang mempelajari nilai-nilai unik masyarakat Temuan, termasuk cara mereka menghormati alam sekitar, kepercayaan terhadap roh nenek moyang dan kepentingan adat dalam kehidupan seharian.
Selain itu, pelajar berpeluang untuk mendalami adat mereka melalui acara sumpit dan kerchang.
Permainan kerchang mencabar minda pelajar, manakala acara sumpit menguji kemahiran dan diawasi oleh wakil Lembaga Adat untuk keselamatan. Aktiviti ini memperkaya pemahaman pelajar tentang adat masyarakat Temuan.- MalaysiaGazette















