KUALA LUMPUR – Pasar Malam di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada setiap hari Sabtu akan dipindahkan ke Jalan TAR sepanjang tempoh Bazar Aidilfitri 2025 diadakan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, lokasi baharu pasar malam tersebut melibatkan kawasan dari persimpangan Jalan Esfahan sehingga ke Jalan Melayu.
Menurut DBKL, sebahagian Jalan TAR akan ditutup bagi memberi laluan kepada operasi pasar malam tersebut iaitu pada 1, 8, 15, 22 dan 29 Mac 2025.
Jalan TAR merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan pengguna di ibu kota untuk mengambil kesempatan membeli baju dan kelengkapan raya.
“Penutupan jalan ini akan berkuat kuasa dari jam 12 tengah hari hingga 12 malam,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, DBKL menyarankan orang ramai yang ingin ke kawasan itu supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
“Penggunaan pengangkutan awam juga amat digalakkan untuk memudahkan pergerakandan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya lagi.- MalaysiaGazette