Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru semua pihak mengambil kesempatan sempena Ramadan untuk berpuasa dari fitnah politik, fitnah perkauman dan fitnah agama yang menyuburkan budaya kebencian dan permusuhan.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, berpuasa tidak cukup sekadar menghalang diri daripada makan dan minum semata-mata sebaliknya juga wajib menghalang daripada memfitnah dan menyekat hati daripada menularnya perasaan dendam dan benci sesama insan.

Selain itu, ujar beliau, majlis berbuka puasa juga perlu dijadikan sebagai talian silaturahim dengan setiap daripada rakyat bersikap rahmah rentas kepartian dan kelompok.

“Sememangnya maqasid (tujuan syariat) berpuasa itu adalah untuk kita membebaskan diri daripada kitaran akhlak yang keji ke arah akhlak yang terpuji, jika tidak apa yang kita perolehi daripada ibadah puasa hanyalah lapar dan dahaga.

“Ramadan mendidik kita menghayati makna hidup yang mulia dan akhlak yang terpuji.

“Saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat kita berpuasa daripada menyebarkan fitnah dan selamat kita berpuasa dari perasaan kebencian dan permusuhan sesama kita,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara, rahsia berpuasa itu mendalam ertinya kepada kehidupan umat Islam yang mana selain ibadah, ia juga adalah amalan kesihatan yang terbukti menghidupkan semula kesegaran sel-sel tubuh badan yang semakin lusuh.

“Dalam suasana dunia yang kelam dan pekat dengan kitaran fitnah, Ramadan muncul sebagai satu cahaya yang memberi harapan untuk kita bergerak keluar dari kitaran ganas ini.

“ni adalah kerana Ramadan adalah bulan al-Quran dan al-Quran adalah petunjuk kepada manusia dan keterangan dari petunjuk serta berupaya membedakan antara garisan Haq dan Batil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here