PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Ops Pantau 2025 mulai hari ini sehingga Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan pematuhan peniaga berdasarkan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi itu dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.
“Pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2025 memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, perbahasaan halal dan penjualan barang keperluan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata KPDN akan mempertingkatkan keberadaan anggota penguat kuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuklah melalui penggunaan van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR), kereta peronda dan Unit Ronda Bermotosikal.
Selain itu, kementerian berkenaan juga akan mengoptimumkan pengoperasian Pusat Arahan Penguat Kuasa yang beroperasi setiap hari mulai 8 pagi sehingga 8 malam bagi memastikan tindakan susulan segera diambil terhadap sebarang aduan, maklumat dan pertanyaan pengguna.
KPDN mengingatkan semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan berkaitan dan memberikan komitmen terhadap gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT).
Terdahulu, beliau turut melakukan tinjauan di Pasar Raya Giant Seri Kembangan dan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Pangsapuri Permai, Kuala Lumpur dan Pasar Raya Lotus’s Kajang, bertujuan memantau isu semasa berkait bekalan beberapa barangan di pasaran, selain melihat operasi PJRM di akar umbi.
“Saya telah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN supaya pemantauan lebih kerap dan bersasar dibuat di premis runcit seluruh negara dalam bulan Ramadan dan menjelangnya bulan Syawal,” kata Armizan. – BERNAMA