KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong digesa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Ayer Hitam kerana telah mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian dan berdepan dengan krisis kewangan.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin turut menggesa Ka Siong membuat permohonan maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan yang telah mengelirukan rakyat.
“Saya harap perkara ini sudah jelas, jadi Wee Ka Siong jangan degil, jangan keras kepala. Sila mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana telah mengelirukan seluruh rakyat bahawa ada satu kerugian yang tidak wujud.
“Ini satu rekod yang dinyatakan dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.
Tambah Chong Zhemin, dividen KWSP yang diumumkan baru-baru ini jelas membuktikan tidak ada krisis kewangan berlaku dalam pengurusan kewangan badan pencarum berkenaan.
Terdahulu dilaporkan, Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Mohammad Ammar Attan mendakwa Ka Siong dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa KWSP kini berada dalam keadaan kritikal.
Ia merujuk kepada penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal telah menafikannya telah mengeluarkan kenyataan seumpama itu menerusi sidang media hari ini.
Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Machang tersebut mencabar supaya Ammar Atan mengemukakan tindakan saman terhadapnya.- MalaysiaGazette
















