UMT memperkenalkan konsep iftar berdulang yang dikongsi empat hingga lima orang,

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) terus mencipta kelainan dalam menyambut bulan Ramadan dengan penganjuran Festival Ramadan UMT 2025.

Lebih istimewa, 2025 merupakan tahun ulang tahun ke-10 penubuhan Masjid UMT sejak dirasmikan pada tahun 2015.

Sejak sedekad lalu, Masjid UMT bukan sekadar menjadi pusat ibadah bagi warga universiti tetapi juga platform memperkukuh hubungan komuniti melalui pelbagai inisiatif termasuk penyediaan iftar secara berdulang, ruang taska sementara bagi ibu bapa yang ingin menunaikan solat tarawih serta pelbagai program pengimarahan masjid.

Menurut Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, Dr. Kasyfullah Abd Kadir, konsep iftar berdulang yang dikongsi empat hingga lima orang terus menjadi kelainan yang dipraktikkan UMT dalam menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.

“Selain mengeratkan ukhuwah antara pelajar dan komuniti, ia juga menggalakkan budaya berkongsi rezeki dan kesederhanaan dalam berbuka puasa,” katanya.

Selain itu, bagi memudahkan ibu bapa yang ingin menunaikan solat tarawih, PISM menyediakan khidmat taska sementara yang dikendalikan oleh pelajar UMT. Kemudahan ini terbuka kepada mahasiswa serta penduduk setempat yang memerlukan.

“Ramai ibu bapa, khususnya golongan ibu, tidak dapat menunaikan solat tarawih di masjid kerana perlu menjaga anak kecil. Dengan adanya taska sementara ini, mereka dapat beribadah dengan lebih tenang tanpa perlu risau akan anak mereka” ujar Dr. Kasyfullah.

Setiap hari sepanjang Ramadan, lebih 500 hingga 1,000 mahasiswa menikmati juadah berbuka percuma di Masjid UMT.

Bagi menampung kos yang semakin meningkat, PISM turut mengalu-alukan sumbangan dari warga universiti, komuniti setempat, syarikat korporat dan individu perseorangan yang ingin merebut ganjaran berinfaq di bulan yang penuh keberkatan ini.

Sebagai sebahagian daripada program kebajikan universiti, UMT juga akan mengagihkan sumbangan Ramadan kepada keluarga miskin di sekitar kawasan kampus, memastikan mereka turut merasai kemeriahan bulan mulia ini.

Bagi mereka yang ingin menyumbang ke Tabung Festival Ramadan UMT, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Masjid UMT (CIMB Bank: 8602381189).

Festival Ramadan UMT bukan sahaja menjadi platform ibadah tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here