Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 MAC 2025.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur supaya agensi dan jabatan kerajaan mengelak pembaziran dalam penganjuran program sepanjang Ramadan termasuk program berbuka puasa atau iftar.

Menurut Perdana Menteri, program sebegitu tidak seharusnya dibuat secara bermewah-mewahan, sebaliknya perlu lebih bersederhana supaya roh dan semangat Ramadan itu benar-benar dapat dihayati.

Beliau menambah, ia juga bertepatan dengan dimensi kerohanian kerana Ramadan merupakan bulan untuk mengukuhkan keyakinan dan ibadah kepada Allah SWT, selain memupuk integriti, disiplin dan kejujuran dalam kegiatan hidup umat Islam supaya menjadi lebih insaf.

“Saya perhatikan kadang-kadang jabatan, agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan memulakan bulan Ramadan dengan memberi sumbangan, itu kita galakkan.

“Tetapi kadang-kadang perkakasan yang digunakan itu berlebih-lebihan, kotak-kotak yang sangat indah, tetapi nak isi hanya kurma. Jadi kalau harga kotak itu lebih mahal daripada kurma, bagi saya itu satu pembaziran.

“Tidak perlu sangat untuk kita tunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi lebih manfaat kepada yang memerlukan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac tahun 2025 di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.

Sementara itu, Anwar turut mengajak penjawat awam supaya membudayakan pembacaan, kefahaman dan mesej di dalam al-Quran sepanjang bulan Ramadan.

Ujar beliau, ia bertepatan dengan Ramadan yang merupakan bulan diturunkan al-Quran dan kitab suci itu juga adalah petunjuk kepada umat Islam dalam membuat pertimbangan antara yang baik dan buruk dalam kehidupan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here