KUALA LUMPUR – Himpunan membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dirancang Pas akan diadakan pada skala lebih besar sekiranya kerajaan gagal mendengar suara penolakan rakyat dalam isu tersebut.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Mohd Hafez Sabri berkata, himpunan yang dirancang bagi menolak RUU PSB itu sangat penting dan signifikan rentetan sesi libat urus yang diadakan tidak memberi keuntungan kepada pihak berkepentingan.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi menambah, himpunan itu juga bukan sekadar membantah secara membuta tuli tetapi tindak balas kepada siri jawapan daripada pimpinan kerajaan yang disifatkan angkuh dengan menafikan persoalan dan keresahan rakyat.
“Himpunan ini juga bagi mendesak kerajaan untuk membuka semula meja rundingan dan penerangan holistik kepada pihak berkepentingan, bukan terhad kepada pemaju dan ahli akademik, namun menyisihkan rakyat yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Hafez berkata, bantahan Pas juga disebabkan siri penerangan kerajaan masih belum menjawab dan memberi jaminan bahawa pelaksanaan RUU PSB tidak akan menyebabkan berlaku perubahan drastik kepada demografi bandar pasca pembaharuan semula.
Ujarnya, pertambahan ketara dalam nisbah plot ratio yang mana tiada kuota dan syarat kepada pembeli unit-unit baharu di bawah RUU PSB itu berpotensi besar menarik minat bukan bumiputera yang berkemampuan sekali gus membawa kepada fenomena gentrifikasi.
Keadaan itu, tambahnya, boleh menyebabkan penduduk asal khususnya Bumiputera menjadi minoriti dan terpinggir.
“Fenomena gentrifikasi ini bukan sahaja mewujudkan perbezaan jurang sosio ekonomi dan sosio budaya, namun turut mengubah landskap ekonomi setempat yang hanya menfokuskan golongan berkemampuan.
“Implikasinya, penduduk asal yang sudah pun minoriti semakin tidak selesa dan meningkatkan polarisasi sosial antara kelas pendapatan dan semakin parah jika berlaku kesenjangan ekonomi antara kaum,” katanya.
RUU PSB dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai tahun ini selepas melalui proses perundangan dan libat urus sejak Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette
















