KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri warga emas ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan dan cubaan membunuh yang berlaku di Bandar Teknologi Kajang pada 28 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita berusia 63 tahun semalam yang mendakwa anak lelakinya yang berumur 42 tahun dilanggar sebuah kereta hingga cedera dan tidak boleh bergerak di kawasan kejadian lebih kurang jam 12 tengah hari.
Pengadu yang bergegas ke lokasi lalu membawa anaknya ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Naazron berkata, hasil siasatan mendapati terdapat satu video dashcam kenderaan awam yang merakamkan kejadian tersebut.
“Di dalam video tersebut memaparkan sebuah kereta warna hitam telah dengan sengaja melanggar mangsa yang turun dari lori sebelum itu sehingga diseret ke tengah atas pembahagi jalan, sebelum kenderaan suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Susulan laporan itu, polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan masing-masing berusia 73 dan 65 tahun pada jam 11.15 malam tadi bagi membantu siasatan kejadian ini serta mendapatkan punca sebenar kejadian.
Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sehingga dua puluh tahun. Siasatan juga dijalankan dibawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain, yang mana boleh dipenjara sehingga 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Insp. Mohd Hizwan bin Hamzah di talian 019-6369835 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette