KUALA LUMPUR – Bekas pemain hoki negara, Faizal Saari mendedahkan gaji ketika berkhidmat bersama kelab hoki Oman, Al-Nasr belum dilunaskan kelab itu.
Faizal, 33, bukan satu-satunya pemain yang berdepan isu sama kerana turut mendedahkan penyerang Korea Selatan, Jang Jong-hyun juga belum menerima tunggakan gaji daripada Al-Nasr.
“Tiada duit jangan panggil import seperti saya dan Jang Jong-hyun (pemain hoki Korea Selatan).
“Pasukan Hoki Al-Nasr di Oman tolong lunaskan bayaran kami, perkara ini sudah berlarutan selama empat bulan dan ia amat memalukan,” tulisnya di laman Facebook.
Al-Nasr adalah kelab hoki yang berpangkalan di Oman telah mengambil khidmat Faizal bagi menghadapi saingan liga di sana.
Sebaik hantaran itu dimuat naik, pemain hoki Australia, Kieran Govers turut berkongsi pengalaman beberapa rakan senegara yang berdepan masalah tunggakan gaji dengan kelab sama.
“Mereka (Al-Nasr) turut berhutang duit (tunggakan gaji) dengan rakan-rakan saya,” katanya di ruang komen.
Faizal baru-baru ini mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa. Beliau merekodkan 302 penampilan dan 176 gol buat The Speedy Tigers.
Keputusan itu dibuat Faizal selepas membantu Terengganu Hockey Team (THT) muncul juara TNB Cup 2025. – MalaysiaGazette
















