KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan dua individu atas tuduhan menipu pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM1 juta.
Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen, di sini, yang membebaskan Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor dan Mohd Fami Sharin kerana pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membatalkan kes itu selepas pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen empat tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya, Khalijah Mohd Khalid memaklumkan kepada hakim bahawa pihaknya ingin menarik balik rayuan berhubung keputusan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh sebelum ini.
Pada awal tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Kafli Che Ali melepas dan membebaskan Farhaan dan Fami selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap kedua-duanya individu itu.
Mengikut pertuduhan, Wan Ahmad Farhaan dan Mohd Fami didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob dan Saleh Nabil Salah Mahmoud Abdalkader Alarabi yang mewakili syarikat Yummylooks Sdn Bhd.
Difahamkan kedua-dua tertuduh akan mengedarkan 180,000 kotak produk itu sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,001,650 ke akaun bank Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd milik Wan Ahmad Farhaan. – MalaysiaGazette
















