KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat tanpa mengira kaum diingatkan supaya tidak menggadaikan keharmonian yang dinikmati ketika ini hanya kerana emosi yang tidak terkawal.
Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berkata, dalam isu melibatkan penyampai radio Era FM yang didakwa memperlekehkan agama Hindu, ketiga-tiga individu berkenaan sudah pun memohon maaf.
Sehubungan itu, ujar beliau, api kemarahan berhubung kes tersebut tidak lagi wajar terus dihidupkan.
“Hukuman bukan tugas kita, itu tugas pihak berkuasa.
“Jika ada tindakan lanjut, biarlah mereka yang bertanggungjawab menentukannya.
“Tetapi kita, rakyat biasa, apa gunanya terus berbalah sesama sendiri?
“Apakah kita mahu melihat kehancuran negara ini hanya kerana kita lebih ghairah mencari salah daripada membina keharmonian?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kontroversi yang tercetus susulan insiden tiga penyampai radio Era FM yang didakwa melakukan perbuatan seolah-olah mempersenda tarian kavadi sehingga menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu.
Bagaimanapun, tiga penyampai radio berkenaan iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf dan menyesali perbuatan mereka.
Sementara itu, Sivaraj menambah, lebih malang di sebalik insiden tersebut, terdapat pula pihak yang digelar pengecut yang berada di luar negara cuba menyimbah minyak ke dalam api dan menyalakan perpecahan di Malaysia.
Tegas beliau, individu seperti itu tidak ada tempat di negara ini dan turut sama perlu diheret ke muka pengadilan.
“Tetapi apakah kita yang masih di sini mahu menjadi mangsa permainan mereka?
“Jangan kerana manusia yang tidak lagi menghargai tanah airnya, kita pula bergaduh dan mencaci sesama sendiri. Itu kerja yang sia-sia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan polemik pergeseran berkenaan isu melibatkan penyampai radio tersebut yang disifatkan tidak membawa manfaat.
Jelasnya, situasi dalam negara ketika ini sudah cukup mencabar apabila berdepan dengan pelbagai isu seperti ekonomi, kos sara hidup, pendidikan dan masa depan generasi muda.
“Itulah musuh sebenar kita. Itulah perkara yang perlu kita perangi bersama, bukan sesama sendiri.
“Malaysia ini rumah kita. Jangan sampai kerana kita sibuk bergaduh, rumah ini runtuh.
Tidak ada sesiapa yang akan datang menyelamatkan kita jika negara ini hancur kerana perbalahan yang kita cipta sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa ketenangan, kesabaran dan perpaduan dalam menangani isu tersebut bukan tanda kelemahan, sebaliknya tanda kebijaksanaan.
“Marilah kita pilih untuk menjadi rakyat yang bijak.
“Marilah kita melangkah ke hadapan dengan fikiran yang lebih matang, hati yang lebih tenang, dan semangat yang lebih kuat untuk melihat Malaysia terus berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette