KENYATAAN UMNO Sabah berkenaan isu subsidi tiket kapal terbang menjelang Aidilfitri.

KUALA LUMPUR – Perhubungan UMNO Sabah menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk memberikan subsidi tiket kapal terbang kepada seluruh penduduk negeri itu, terutama golongan B40 yang ingin pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri hujung bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penduduk Sabah yang bekerja di Semenanjung sering menghadapi cabaran besar akibat kos pengangkutan udara yang tinggi.

Ujar beliau, bagi golongan B40, kos tiket kapal terbang yang melambung setiap kali musim perayaan tiba memberi tekanan tambahan kepada kewangan mereka.

“Oleh itu, adalah wajar jika kerajaan mempertimbangkan subsidi tiket kapal terbang yang lebih meluas, bukan kepada pelajar sahaja, tetapi juga kepada seluruh golongan B40 yang ingin pulang ke Sabah bagi merayakan hari lebaran bersama keluarga tercinta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Bung Moktar, langkah itu juga akan memberi manfaat yang besar kepada keluarga di Sabah, terutama bagi mereka yang terpisah akibat jarak jauh.

Selain itu, ujarnya, subsidi tersebut juga akan memberi impak positif kepada semangat kekeluargaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat Sabah.

Tambah beliau, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kos sara hidup yang semakin meningkat dan tekanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat Sabah ketika ini, inisiatif itu pastinya akan dapat meringankan beban mereka.

“Kerajaan perlu melihat isu ini dengan lebih serius dan memperkenalkan inisiatif subsidi tiket kapal terbang yang lebih inklusif untuk memastikan seluruh rakyat Sabah, terutamanya golongan B40 tidak terpinggir dalam usaha kita untuk memperbaiki taraf hidup dan memastikan kebajikan mereka terjaga,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO Sabah akan terus memperjuangkan hak rakyat Sabah untuk mendapat akses yang adil kepada kemudahan asas dan akan berusaha memastikan bantuan yang diberikan oleh kerajaan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast