KLUANG – Tular sebuah kediaman di Jalan Padang Tembak, di sini, dilihat seperti ‘rumah sampah’ yang didiami seorang wanita bersama-sama empat anak.
Keadaan itu berlaku selepas suaminya dipenjarakan sejak tujuh tahun lalu manakala abang kandung dan seorang anak lelakinya pula terjebak dengan najis dadah.
Ini menyebabkan wanita yang berusia 37 tahun itu berdepan dengan tekanan hidupĀ hingga sanggup tinggal dengan timbunan sampah-sarap bersama-sama anak-anaknya.
Malah rumah yang disewa RM150 sebulan itu meloyakan apabila timbunan sampah-sarap memenuhi segenap rumah dari ruang tamu sehingga ke dapur dan tidak mempunyai kemudahan elektrik sejak 2016.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia bekerja sebagai pembuat colok dengan upah kira-kira RM65 sehari sejak empat tahun lalu.
“Saya sebolehnya mahu keluar dari rumah ini kerana anak-anak takut dengan pakciknya, namun berdepan isu kewangan, selain sudah tinggal di sini sejak arwah mak dan ayah masih ada.
“Dia pernah mengamuk dan menyelongkar bilik mencari wang, tetapi bila tak jumpa, dia jual apa sahaja barang yang ada,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, mereka lima beranak tidur di ruang tamu tanpa beralaskan tilam sejak sekian lama kerana tiada pilihan.
Ujar beliau, suaminya dipenjarakan sejak tujuh tahun lalu akibat kesalahan dadah dan sejak itu dia perlu menanggung keluarganya.
“Saya balik kerja pun dah penat sangat, kadang-kadang saya beli lauk dan minta anak memasak nasi.
“Saya ada dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Yang sulung, perempuan berusia 13 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) intelektual dan yang paling kecil lelaki berusia tujuh tahun.
“Alhamdulillah, anak-anak semua sihat dan saya hantar mereka ke sekolah sebelum ke tempat kerja dengan motosikal,” katanya. – MalaysiaGazette