KUALA LUMPUR – Di sebalik kenyataan bahawa DAP tetap bersatu menjelang pemilihan parti, bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi, bagaimanapun berpendapat parti itu tidak dapat mengelak daripada pertarungan dalaman.
Dalam artikelnya yang diterbitkan Sinchew Daily, Jeff menyatakan golongan veteran parti kerap muncul sejak kebelakangan ini untuk menyokong kumpulan pilihan masing-masing.
Menurutnya, sudah menjadi tradisi dalam parti bahawa ‘menu’ akan muncul menjelang pemilihan bagi menyenaraikan calon-calon yang direstui.
Menu tersebut dikatakan hasil sistem barter antara jawatankuasa negeri untuk mengumpulkan undi dan mengagihkan kuasa.
“Daripada 30 anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) sedia ada, Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang masing-masing diwakili lima orang.
“Perak dan Johor pula diwakili empat orang setiap satu, manakala Sabah, Negeri Sembilan, dan Sarawak masing-masing dua orang. Pahang hanya seorang.
“Ini adalah formula untuk mengumpul kuasa sambil mengagihkan pengaruh,” katanya.
Jeff menjangkakan jumlah wakil dari Perak akan meningkat kepada lima orang, sementara Kuala Lumpur berkurangan seorang.
Beliau menjelaskan, situasi itu berlaku kerana dua pemimpin veteran Kuala Lumpur, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun, telah mengumumkan tidak akan bertanding. Manakala dua bekas pembantu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurutnya, setiap pemimpin mempunyai strategi tersendiri, termasuk “Kem Lim” yang cuba melawan arus. Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, perlu meningkatkan ‘serangan gerila’ untuk mengukuhkan kedudukan.
Walaupun wujud desas-desus perpecahan, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong menegaskan parti tetap utuh menjelang pemilihan pada 16 Mac.
“Tidak, parti tidak berpecah. Saya akan memberi ulasan tidak lama lagi,” katanya seperti dipetik Oriental Daily.