KUALA LUMPUR – Bukan Menara Berkembar Petronas atau Menara Kuala Lumpur, tetapi ‘menara roti tisu’ kini menjadi ikon Malaysia bagi ramai pelancong asing.
Baru-baru ini, sebuah video menunjukkan pekerja restoran mamak giat menyajikan roti tisu kepada pelancong asing telah tular di media sosial.
Dapat dilihat, banyak meja di restoran tersebut telah memesan roti tisu, dengan sebahagian pelancong cuba bergambar bersama hidangan itu.
Rata-rata warganet mengakui situasi tersebut lucu apabila melihat pelbagai “menara roti tisu” terpacak di meja berbeza, namun turut berbangga kerana hidangan Malaysia diminati pelawat antarabangsa.
Menurut laporan Sinchew Daily, pelancong China menjadikan aktiviti bergambar dengan ‘menara roti tisu’ sebagai ‘kewajipan’ ketika melawat Malaysia, sebagai bukti pengalaman mereka di negara ini.
Selain pelancong dari China, pengunjung Korea Selatan juga dikatakan gemar merakam gambar bersama roti tisu yang unik buat mereka. – MalaysiaGazette