KULAI – Pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita enam gerai warga asing yang berniaga secara haram di bazar Ramadan sekitar Johor setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindaakan tersebut dilakukan dalam operasi penguatkuasaan PBT kerana berniaga tanpa lesen yang sah.
“Tindakan ini membabitkan bazar ramadan di kawasan Iskandar Puteri dan Batu Pahat. Kebanyakkan warga asing ini menyelit meniaga di bazar Ramadan dengan menjual kuih muih.
“Seperti saya umumkan pada hari pertama Ramadan, kita telah arahkan 16 PBT melaksanakan penguatkuasaan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) untuk membuat pemeriksaan di semua gerai dalam bazar Ramadan sama ada mereka memenuhi syarat atau tidak.
“Tujuan penguatkuasaan ini bagi melindungi peniaga sah warga tempatan. Peniaga warga asing ini selit masuk di dalam bazar Ramadan.
“Apabila arahan dikeluarkan untuk periksa, penguatkuasaan akan cek satu demi satu gerai dan dapati gerai mereka memang tiada dalam senarai lesen dibenarkan meniaga, jadi bila dapat kita terus buat sitaan kita rampas semua barang-barang perniagaan mereka.
“Warga asing ini termasuk Myanmar yang biasanya meniaga kuih-muih dan ikan pada hari biasa,” katanya selepas membuat tinjauan di Bazar Ramadan Jalan Merbau, di sini, semalam.
Mohd Jafni berkata, dalam penguatkuasan sama lima peniaga bazar ramadan di negeri ini telah diberikan notis antaranya atas kesalahan seperti tiada tanda harga, halangan lalu lintas dan kebersihan.
“Satu kompaun RM1,000 dikeluarkan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) terhadap seorang peniaga kerana menggajikan pekerja asing,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan berhubung tindakan terhadap peniaga di Pontian yang menjual mercun di bazar Ramadan, Mohd Jafni berkata, tindakan itu dibuat kerana peniaga terbabit tidak mempunyai permit polis dan lesen PBT.
“Polis keluarkan permit untuk mercun, jadi kita di bahagian perlesenan asal sahaja ada permit polis dan dapat lesen PBT kita dibenarkan.
“Kita ambil tindakan di Pontian disebabkan tidak ada lesen dan permit polis. Kita nasihatkan mereka yang berniaga ini gunakan cara dan ikut proses.
“Kita bukan hendak menidakkan perniagaan mereka kerana kebanyakan orang muda, tetapi ikut proses yang betul,” katanya.- MalaysiaGazette
















