JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM12,000 terhadap seorang lelaki warga Singapura atas tuduhan memandu di bawah pengaruh minuman keras, awal bulan ini.
Hukuman tersebut diputuskan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid terhadap Sim Kok Siong Daniel, 46, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Mahkamah turut memerintahkan pemandu e-hailing di Singapura itu dipenjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Kok Siong didakwa memandu sebuah kereta dengan kandungan alkohol 165 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi had ditetapkan iaitu 50 mg dalam 100 ml darah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini, kira-kira pukul 10 malam, pada 5 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM30,000, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Kok Siong yang tidak diwakili peguam meminta maaf dan mengaku telah insaf akan perbuatannya serta berjanji tidak mengulanginya lagi.
“Saya bekerja sebagai pemandu Grab di Singapura dengan pendapatan s$5,000 sebulan. Saya juga menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang masih belajar.
“Saya tidak mampu membayar denda yang tinggi atau dipenjarakan kerana saya merupakan satu-satunya pencari rezeki dalam keluarga,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu selain melucutkan hak tertuduh untuk memiliki lesen memandu tempatan selama dua tahun bermula tarikh sabitan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh.
Minggu lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 46 tahun selepas dipercayai memandu sebuah kenderaan jenis Suzuki di bawah pengaruh alkohol sehingga terbabas masuk ke sebuah restoran di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini.
Beliau berkata, pemandu itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan melanggar dinding restoran, kerusi serta meja.
“Ketika cuba mengundurkan kenderaan keluar, dia kemudian melanggar Honda HRV yang sedang diparkir di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu,” kata Raub lagi.- MalaysiaGazette
















