Wakil KMK, Adnan Ibrahim menyerahkan sumbangan kepada Shapidah di rumanya di Taman Orkid, Kluang, hari ini

KLUANG – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itu yang dirasakan seorang ibu tunggal di Taman Orkid, di sini, yang menjaga seorang daripada dua anaknya yang terlantar akibat kemalangan sejak lapan lalu.

Shapidah Shahed, 50, berkata, dia kini menguruskan semua keperluan Mohd Zaki Hanapi 24, kerana keadaannya yang tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, Mohd Zaki terlantar sejak terlibat dalam kemalangan motosikal ketika berusia 16 tahun dan ketika ini perlu dijaga seperti bayi yang baru lahir.

“Kejadian yang menimpa anak saya yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil (SSAJ) adalah ketika berkonvoi bersama rakan-rakannya ke Hutan Lipur Gunung Berlumut sebelum berlaku kemalangan.

“Kejadian ini mengubah seratus peratus kehidupan Mohd Zaki dan memerlukan perhatian saya dan keluarga,” katanya ditemui selepas menerima sumbangan barang keperluan harian daripada Kelab Media Kluang (KMK) di kediamanya di taman tersebut hari ini.

Menurut Shapidah, dia mempunyai seorang lagi anak lelaki yang berusia 22 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan namun suasana dalam rumah itu tetap suram dan kegembiraan untuk diraikan sama ada Ramadan atau Hari Raya Aidil Fitri.

Dia berkata, pendapatan menjual kuih sejuk beku yang diusahakannya serta sarapan pagi tidak memungkinkan untuk mereka sekeluarga mampu berbelanja seperti orang lain.

“Ini kerana bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara keseluruhan habis dibelanjakan untuk menanggung kos perubatan dan kesihatan Mohd Zaki.

“Pendapatan menjual kuih sejuk beku dan sarapan pagi hanya sekadar mampu untuk menampung kos makanan harian keluarga,” katanya.

Ujarnya, sejak lapan tahun lalu, memang tiada persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri malah berpuasa pun hanya makanan dimasak sendiri secara ala kadar sahaja.

“Terima kasih kepada KMK yang simpati dengan kehidupan keluarga kami selain mengambil berat tentang kebajikan Mohd Zaki sejak dia mula-mula terlantar lagi,” katanya.- MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast