KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) meneruskan tradisi menganjurkan majlis berbuka puasa bersama ahli-ahlinya di ibu negara malam tadi.
Majlis tahunan itu kali ini dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak yang mewakili Menteri Besar Pahang.
Yang di-Pertua Pekap, Datuk Azman Shah Abdullah berkata, sejak 1966, PEKAP telah menjadi nadi anak-anak Pahang di perantauan.
“PEKAP telah berakar umbi sejak tahun 1966, menjadikannya sebuah organisasi yang telah bertahan selama 59 tahun dalam menjaga kebajikan serta mengukuhkan perpaduan anak-anak Pahang yang berhijrah ke ibu kota.
“Sepanjang tempoh ini, PEKAP telah melalui pelbagai cabaran dan evolusi, menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, tetapi tetap teguh berpegang pada matlamat asalnya—membantu, menyatukan, dan memperkasakan masyarakat Pahang di perantauan.
“Dari sebuah persatuan yang kecil, PEKAP kini berkembang menjadi sebuah organisasi yang berperanan besar, seramai hampir 4,000 orang ahli,” katanya pada majlis yang sama malam tadi.
Menurut Azman Shah berkata, PEKAP ditubuhkan dengan visi utama untuk menjaga kebajikan dan memperkukuhkan hubungan silaturahim antara anak-anak Pahang yang merantau ke ibu kota.
“PEKAP bukan sekadar sebuah persatuan biasa, tetapi satu platform penting dalam menyatukan masyarakat Pahang yang tinggal jauh dari kampung halaman, memastikan kebajikan mereka terpelihara serta memberikan bantuan dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette